Dalam Al Quran Allah banyak kali menceritakan kelebihan-kelebihan kaum Bani Isreal disamping tidak kurang kecaman-kecaman dan kutukan Tuhan terhadap mereka.Tetapi selama ini kita hanya mendengar keburukan mereka sahaja lantaran kezaliman yang mereka lakukan terhadap rakyat Palestin beberapa dekad ini. Di sini mari kita lihat satu kelebihan yang ada pada mereka sebagai satu keturunan bangsa yang tua dalam sejarah dunia.
Di dalam Al Quran ada menceritakan satu pembunuhan berlaku di kalangan Bani Isreal. Apabila cuba menyelesaikannya tetapi tidak berjaya, mereka menemui Nabi Musa untuk mendapat panduan dari wakil Tuhan. Maka Nabi Musa memerintahkan mereka menyembelih seekor lembu dan memukul mayat tersebut dengan sebahagian anggota lembu tersebut lalu mayat itu menceritakan siapa pembunuhnya. Maka Allah kekalkan cerita dan menamakan satu surah di dalam Al Quran dengan nama Lembu Betina.
Kisah kedua, apabila kaum Bani Isreal ditindas oleh kaum lain setelah kewafatan Nabi Musa AS, mereka amat tertekan. Mereka dan anak-anakdihalau keluar dari tanah rumah mereka sendiri. Apabila buntu dalam menyelesaikan masalah, mereka berpakat menghadap Nabi Yusya' supaya bermohon kepada Tuhan untuk menunjukkan pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah mereka.
Dari dua kisah ini kita ketahui bahawa Bani Isreal sangat faham, apabila berlaku sesuatu masalah, semakin diusaha bukan semakin selesai malah timbul masalah-masalah yang lain menunjukkan waktu itu ada wakil Tuhan yang perlu dirujuk. Bukan masa untuk menunjuk pandai. Tawadhu'lah dengan Tuhan. Rujuk dan bertanyalah wakil-Nya.
Inilah yang patut dipelajari oleh bangsa Melayu. Masalah demi masalah berlaku tanpa jalan keluar. Dari soal politik, sosial, ekonomi,pendidikan, hiburan, hubungan antara bangsa, rumah tangga, alam sekitar dan lain-lain berlaku tanpa noktah. Bukankah ini petanda ada wakil Tuhan yang patut dirujuk pimpinannya untuk menyelesaikan kemelut ini.
Kanak-kanak yang hilang sudah ratusan jumlahnya. Wanita-wanita muda yang dipenjara di luar negara kerana di syaki mengedar dadah juga banyak bilangannya. Tipu menjadi-jadi. Gores dan menang, masih kerap berlaku. Rompakan tong ATM dah banyak kali berlaku. Kedai-kedai emas juga jadi mangsa. Di tambah lagi dengan masalah ekonomi. Inflasi menjadi-jadi. Petrol naik harga. Barangan keperluan tiada di pasaran. Kalau ada harganya tinggi. Ada kilang-kilang yang sudah memberhentikanpekerja kerana tidak mampu beroperasi.
Pemimpin parti pemerintah masih tidak yakin mereka sudah tidak popular. Malah ramai yang kalah. Parti pembangkang yang menang, belum bersedia untuk memerintah. Masih terpinga-pinga. Berlakulahtuduh-menuduh, fintah-memfitnah, jatuh menjatuhkan bukan di antaraparti sahaja, malah di dalam parti yang sama. Dewan yang dianggap mulia, sudah bertukar wajah umpama pasar borong. Rakyat keliru dengan pemimpin yang mereka pilih.
Zina berleluasa. Anak dibuang merata-rata. Dalam tandas, longkang, digantung dalam plastik dekat surau atau tong sampah. Tidak berharga. Arab Jahiliah lebih mulia, membenarkan anak hidup lebih lama. Di tambah dengan budaya pengkid, gay, lesbian, mat rempit. Rogol, dera,hamba seks sudah macam berita biasa. Akta dadah sejak 1952, hingga sekarang belum ada tanda berhenti. Pusat Serenti masih beroperasi. Kemalangan berlaku setiap hari. Kadang-kadang macam bermusim, seminggu bas ekpress. Minggu depan keretapi. Begitu juga keracunan makanan di kantin dan kes-kes buli.
Apakah masyarakat kita masih ingin menyelesaikan masalah menggunakan kekuatan akal mereka tanpa panduan orang-orang rohani? Belajarlah dari Bani Isreal, mereka telah mengalaminya. Kalau ianya tidak penting, mengapa Tuhan kekalkan kisah ini di dalam Al Quran? Ia bukan hanya bacaan untuk mengejar pahala, lebih-lebih lagi untuk merebut hadiah duniawi tetapi panduan hidup untuk dipraktiskan agar kita tergolong mereka yang menghargai Al Quran.
No comments:
Post a Comment